Thursday, July 31, 2008

KADAR, BELANJA DARURIYAH DAN PELARASAN ZAKAT

Masa terus beredar. Keadaan juga berubah. Tempat juga tidak sama. Persoalannya, apakah perakaunan zakat mengalami perubahan berikutan dengan peredaran masa, keadaan dan tempat ini?
Sekiranya ditinjau apa yang dipraktiskan di Malaysia adalah tidak rigid. Ia jelas mempamerkan berlakunya kelestarian fiqh Islam itu sendiri dalam perakaunan zakat.
Misalnya berlaku pengubahsuaian ke atas kadar zakat pertanian. Ketetapan asal tentang kadar zakat pertanian adalah bergantung kepada punca air yang digunakan. Bagi tanaman yang disiram dengan dengan air tanpa menggunakan tenaga seperti dengan air hujan, maka kadar zakatnya ialah 10 peratus. Bagi tanaman yang disiram dengan air yang diangkut atau dibeli, maka kadar zakatnya ialah 5 peratus. Bagi tanaman yang disiram dengan menggunakan 50 peratus disiram dengan air hujan dan 50 peratus dengan air yang diangkut, maka kadar zakatnya ialah 7.5 peratus (JAKIM, 2001).

Perkiraan zakat pula dibuat berdasarkan pendapatan bersih. Dalam membuat taksiran bagi zakat hasil pertanian, semua kos pengeluaran seperti pembajakan, benih, baja dan racun adalah dibenarkan.

Begitu juga dengan belanja keperluan daruriyah. Justeru perbelanjaan keperluan asasi harian berasaskan perbelanjaan masa kini juga turut dibenarkan (JAKIM, 2001).

Di Negeri Kelantan misalnya menetapkan kadar perbelanjaan daruriyah mestilah yang paling sederhana bagi satu tahun. Ia meliputi untuk diri dan keluarga di bawah tanggungan, iaitu perbelanjaan diri sebanyak RM5,000, perbelanjaan isteri sebanyak RM3,000 dan perbelanjaan anak-anak sebanyak RM2,000. Kadar ini hanyalah sebagai panduan umum sahaja kerana kadar sebenar perbelanjaan daruriyah bergantung kepada bilangan tanggungan dan perbelanjaan daruriyah lain seperti perbelanjaan pelajaran dan sebagainya (Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, 1999). Jabatan Zakat Selangor membenarkan perbelanjaan diri sebanyak RM8,000, manakala perbelanjaan anak-anak sebanyak RM1,000 seorang.

Secara umumnya perbelanjaan daruruiyah adalah meliputi diri sendiri, isteri, anak-anak, ibu bapa dan tanggungjawab lain seperti adik beradik, jiran dan musafir. Selain itu ialah caruman wajib seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Kadar zakatnya ialah 2.5 peratus ke atas baki bersih pendapatan (JAKIM, 2001).

Bagi perakaunan zakat perniagaan pula, terdapat tiga kaedah yang diamalkan di Malaysia. Pertama, zakat dikenakan hanya ke atas aset semasa.[1] Ia diamalkan di negeri Kedah, Johor dan Kelantan. Kedua, zakat dikenakan ke atas aset modal kerja. Ia diamalkan di negeri Perlis.[2] Ketiga, zakat dikenakan ke atas modal kerja yang diselaraskan. Ia diamalkan di negeri-negeri selain dari negeri Kedah, Johor, Kelantan dan Perlis. Tetapi pada ketika ini, kecuali negeri Kelantan, negeri-negeri lain mengenakan zakat ke atas modal kerja yang diselaraskan. Negeri Kelantan mengenakan zakat perniagaan ke atas aset semasa.

Pembaharuan dalam perakaunan zakat perniagaan yang begitu terserlah ialah membuat pelarasan ke atas aset semasa dan liabiliti semasa. Item yang ditolak daripada aset semasa antara lain ialah barang-barang dan hasil yang haram; bayaran deposit air, deposit telefon, elektrik dan lain-lain kerana tidak memenuhi syarat milik sempurna; wang yang dipinjamkan kerana tidak memenuhi syarat milik sempurna; nilai dividen yang sudah dibayar zakat oleh syarikat yang dilaburkan; hutang lapuk dan stok lupus; sumbangan kepada tabung-tabung yang bersifat kebajikan; dan stok bahan mentah serta kerja dalam proses.
Liabiliti semasa yang ditolak pula adalah yang bersifat operasi sahaja seperti pemiutang perdagangan (trade creditors) dan kos operasi (operation payables) seperti gaji, elektrik, telefon dan cukai.

Nota kaki
[1] Aset semasa ialah wang tunai atau aset lain yang mudah ditukarkan kepada wang tunai, yang boleh dijual atau digunakan dalam pembuatan barang pada tempoh yang terpanjang antara satu tahun perakaunan atau satu kitaran kendalian. Misalnya pelaburan sementara, akaun belum terima, inventori dan belanja bayar dahulu.
[2] Modal kerja ialah aset semasa ditolak liabiliti semasa. Liabiliti semasa ialah tanggungan yang perlu dijelaskan dalam tempoh terpanjang antara satu tempoh perakaunan atau satu kitaran kendalian.

No comments: