Sunday, July 27, 2008

PEMBAHARUAN DALAM PERAKAUNAN ZAKAT

Pembaharuan di sini bukanlah bermaksud menggantikan Islam dengan ajaran yang baru. Pembaharuan yang dimaksudkan hanyalah untuk mengembalikan sesuatu kepada bentuk asalnya sehingga ia menjadi baru kembali. Ia dilakukan bersandarkan kepada syariat Islam.

Antara pembaharuan yang terserlah pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin ialah pembaharuan dalam pengurusan dan perakaunan zakat. Ia kemudian diteruskan pada zaman sahabat dan zaman tabi’in.

Pembaharuan dalam pengurusan dan perakaunan zakat dijangkakan akan berlaku secara berterusan. Hal ini pernah disebut oleh bekas Syeikh al-Azhar, Syeikh Mahmud Syaltut seperti berikut:

“....kita dapati bahawa jurang perbezaan antara para pemerintah dan fuqaha’ dalam melaksanakan kefardhuan zakat ini begitu luas sekali.... Sebagai contoh, fuqaha’ ini mengenakan zakat atas hasil pertanian yang diusahakan oleh manusia dan fuqaha’ yang lain pula enggan mengenakan zakat...”

Semasa pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin misalnya, terdapat beberapa pembaharuan dalam pengurusan dan perakaunan zakat. Ia boleh dibahagikan kepada empat kategori.

Pertama, pihak pemerintah boleh menggunakan kuasa untuk menentukan zakat ditunaikan oleh semua pihak yang telah cukup syarat sekalipun terpaksa mengisytiharkan perang ke atas mereka. Khalifah Abu Bakar misalnya memerangi mereka yang enggan membayar zakat.

Kedua, pihak pemerintah boleh mengkaji semula pelaksanaan hukum zakat yang telah ditetapkan sebelumnya dan mengubahnya bersesuaian dengan keadaan dan suasana semasa. Khalifah Umar al-Khattab misalnya mengenakan zakat ke atas kuda walaupun di zaman Rasulullah s.a.w. kuda dikecualikan daripada zakat. Semasa pemerintahan Khalifah Ali b. Abi Talib pula kuda tidak dikenakan zakat1

Ketiga, pihak pemerintah boleh memperluaskan asas zakat dengan mengenakan zakat ke atas sesuatu harta yang baru ditemui atau baru wujud dalam kalangan masyarakat. Khalifah Umar al-Khatab misalnya memperluaskan asas zakat ternakan dengan mengenakan zakat ke atas kuda, asas zakat pertanian dengan mengenakan zakat ke atas kacang, kapas dan buah zaitun serta beberpa jenis hasil keluaran laut.

Keempat, pemerintah boleh membuat perubahan ke atas perakaunan zakat yang diamalkan. Khalifah Umar al-Khatab misalnya mengenakan zakat ke atas madu pada kadar 5 peratus - 10 peratus berdasarkan kaedah guna tenaga yang digunakan dalam memproses hasil tersebut. Khalifah Uthman b. Affan pula mengenakan zakat ke atas harta bersih. Dengan itu, semua hutang pembayar zakat ditolak terlebih dulu. Zakat hanya dikenakan ke atas baki harta kekayaan yang ada. Khalifah Ali b. Abi Talib pula memperkenalkan kadar zakat setiap lima ekor unta boleh diganti dengan unta yang lebih muda atau tua dengan syarat dibayar ganti rugi kepada tuannya dua ekor kambing biri-biri atau 10 dirham.

Pembaharuan bagi kategori ketiga dan keempat mempamerkan pembaharuan dalam perakaunan zakat. Perakaunan zakat bermaksud proses mengenalpasti harta-harta yang diwajibkan zakat, menentukan syarat-syarat harta yang diwajibkan zakat, memastikan kadar zakat yang dikenakan dan kemudian membuat taksiran zakat ke atas harta tersebut.2

Pembaharuan dalam perakaunan zakat ini berlaku antara lain disebabkan perkataan harta yang diwajibkan zakat yang disebut di dalam al-Qur’an.3 Allah s.w.t. menyebut harta-harta yang diwajibkan zakat dalam dua bentuk. Pertama ialah dalam bentuk umum; dan kedua ialah dalam bentuk spesifik. Dalam bentuk umum, al-Qur'an hanya menyebut perkataan sebahagian harta (al-Taubah, 9: 103) atau harta-harta (al-Dhariyat, 51: 19). Dalam bentuk spesifik pula, al-Qur'an menyebut emas dan perak (al-Taubah, 9: 34), pendapatan pertanian (An’am, 6: 141), pendapatan perniagaan dan hasil galian (al-Baqarah, 2: 267).

Menurut Prof Dato' Mahmood Zuhdi Abd. Majid (2003), meskipun al-Qur’an menyebut jenis-jenis harta tertentu dikenakan zakat (al-Taubah, 9: 34; An’am, 6: 141; dan al-Baqarah, 2: 267) tetapi tidak ada apa-apa kenyataan atau isyarat yang ia secara bersama menghadkan pengertian umum yang terdapat dalam ayat 103 surah al-Taubah dan ayat 19 surah al-Dhariyat. Menurut beliau, ketiga-tiga ayat tersebut hanya menerangkan beberapa jenis harta yang diwajibkan zakat tetapi ia tidak bermakna harta-harta lain tidak diwajibkan zakat.

Kedua-dua bentuk tersebut juga terdapat di dalam al-Sunnah Rasulullah s.a.w. Dalam bentuk umum, Rasulullah s.a.w. hanya menyebut perkataan harta-harta, manakala dalam bentuk spesifik, Rasulullah s.a.w. menyebut jenis-jenis harta, iaitu emas dan perak, barangan perniagaan, hasil pertanian seperti gandum, barli dan anggur, ternakan seperti kambing, lembu dan unta, dan hasil galian.

Kalaulah begitu keadaannya, maka adalah dijangkakan pembaharuan dalam pengurusan dan perakaunan zakat akan berlaku secara berterusan. Hal ini selari dengan kelenturan (murunah) Syari’at Islam itu sendiri.

Nota kaki
[1] Perubahan hukum ini disebabkan tujuan dan maksud kuda yang diternak telah berubah. Semasa Khalifah Umar al-Khattab, kuda diternak untuk tujuan komersial, sebaliknya semasa Khalifah Ali b. Abi Talib, kuda diternak untuk tujuan pengangkutan dan pembajakan.
[2] Perakaunan zakat dalam bahasa Arab ialah muhasabah al-zakah. Perakaunan zakat sebenarnya melibatkan lima tahap. Pertama, menentukan harta-harta yang diwajibkan zakat. Kedua, menilai harta-harta yang diwajibkan zakat. Ketiga, menentukan kadar zakat yang sesuai. Keempat, mengagihkan pungutan zakat kepada penerima zakat. Kelima, menyediakan laporan kepada pihak berkuasa mengenai pungutan dan agihan zakat (Husain Shahatah, 2003: 194 - 195).
[3] Perkataan harta ialah terjemahan daripada perkataan Arab, iaitu amwal. Perkataan amwal boleh juga diterjemahkan sebagai kekayaaan (wealth). Misalnya, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Ambillah (sebahagian) dari harta (amwal) mereka menjadi sedekah (zakat), (supaya dengannya) engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk) ...” (al-Taubah, 9: 103).

No comments: