Monday, October 22, 2007

ZAKAT HARTA

Harta wajib zakat biasanya boleh dibahagikan kepada lima kategori. Pertama, emas dan perak; kedua, hasil pertanian; ketiga, binatang ternakan; keempat, harta perniagaan; dan kelima, hasil dari perut bumi. Harta-harta yang baru wujud atau baru ditemui pula diqiyaskan kepada salah satu daripada harta-harta tersebut. Antara lain yang popular pada masa kini ialah pendapatan daripada sumber hutan dan lautan, pendapatan penggajian dan pendapatan pelaburan.

Walau bagaimanapun, kategori harta bukanlah satu-satunya penentu utama dalam mengenalpasti sesuatu harta diwajibkan zakat.

Sifat dan maksud harta itu juga memain peranan penting. Hal ini boleh dilihat kewajipan zakat ke atas kuda. Pada zaman Rasulullah s.a.w misalnya, kuda tidak diwajibkan zakat. Sebaliknya, Khalifah Umar al-Khattab mewajibkan zakat ke atas kuda. Perubahan ini berlaku kerana kuda pada zaman Khalifah Umar telah diternak secara besar-besaran untuk maksud perniagaan. Dengan itu kuda diwajibkan zakat.

Khalifah Ali b. Abi Talib sebaliknya menarik balik zakat ke atas kuda. Ini berlaku kerana kuda pada zaman beliau telah digunakan untuk pembajakan dan pengangkutan.

Begitu juga dengan tulisan-tulisan para fuqaha. Mereka terlebih dulu membahaskan syarat-syarat harta yang diwajibkan zakat sebelum membicarakan kategori harta yang diwajibkan zakat.

Kebanyakan mereka menetapkan enam syarat, iaitu pertama, hak milik sempurna; kedua, harta berkembang; ketiga, sampai nisab; keempat, melebihi keperluan asas; kelima, bebas daripada hutang; dan keenam, cukup haul.

Semua syarat tersebut merupakan prinsip-prinsip penting dalam mengenal pasti harta yang diwajibkan zakat.

Hak milik sempurna bermaksud sesuatu harta dimiliki dan dikuasai oleh seseorang. Kedua-kedua syarat “dimiliki” dan “dikuasai” ini mesti dipenuhi. Apabila kedua-dua syarat ini dipenuhi, maka pemilik harta berkenaan bolehlah menggunakannya mengikut kehendak pemiliknya.

Harta berkembang bermaksud sesuatu harta berupaya menghasilkan pendapatan, keuntungan atau tambahan kepada harta yang sedia ada. Berkembang boleh berlaku secara semula jadi seperti binatang ternakan. Berkembang juga boleh berlaku secara diusahakan seperti barangan perniagaan. Dengan itu, harta yang tidak dapat berkembang tidak diwajibkan zakat. Ia dikenali sebagai harta kegunaan peribadi seperti rumah, kenderaan, perabot dan sebagainya.

Sampai nisab bermakna had minimum sesuatu harta diwajibkan zakat. Ia berlainan mengikut setiap jenis harta. Misalnya, nisab bagi unta ialah 5 ekor, kambing ialah 40 ekor, emas ialah 85 gram, perak ialah 200 dirham dan hasil pertanian ialah 400 gantang atau 653 kilogram..

Melebihi keperluan asas bermaksud harta yang sampai nisab itu mesti melebihi keperluan asas pembayar zakat. Ini bermakna, harta yang diwajibkan zakat itu mestilah setelah menolak semua perbelanjaan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan asas. Ia meliputi antaranya makanan, pakaian, tempat tinggal dan nafkah untuk tanggungan seperti anak, ibu bapa dan pembantu rumah.

Bebas daripada hutang bermaksud pembayar zakat perlu menjelaskan semua hutang yang ditanggung terlebih dahulu sebelum membuat sebarang bayaran zakat. Dengan itu, jumlah harta yang telah ditolak keperluan asas tadi perlu ditolak hutang-hutang yang ditanggung oleh pembayar zakat. Tolakan yang dibenarkan hanyalah untuk hutang tahun semasa yang perlu dibayar.

Cukup haul pula bermaksud apabila sesuatu harta berada di tangan pemiliknya bagi tempoh selama satu tahun Hijrah. Ia hanya untuk zakat binatang ternakan, zakat mata wang, zakat emas, zakat perak dan zakat barangan perniagaan. Zakat bagi pendapatan daripada pertanian, pendapatan daripada galian dan sebarang bentuk ‘pendapatan’ tidak tertakluk kepada prinsip cukup haul ini.

Dengan demikian dapatlah dirumuskan bahawa sesuatu harta itu diwajibkan zakat apabila memenuhi prinsip-prinsip di atas. Maka sepatutnya tidak timbul dakwaan kononnya zakat ke atas sesuatu harta tidak diwajibkan semata-mata kerana ia tidak wujud di zaman Rasulullah s.a.w., Khulafa’ al-Rasyidun, para sahabat ataupun tabiin.

2 comments:

Andalusi Qurtubi said...

Assalamualaikum wrkth,

Saya tertarik dengan artikel Dr ini. Dan ada beberapa pertanyaan mengenai nisab zakat pertanian yang Dr nyatakan dalam artikel ini iaitu 400 gantang atau 653 kilogram. Soalan saya:

1- Adakah ia melibatkan padi/beras atau selainnya seperti gandum? Kalau ia adalah berasaskan padi, adakah setelah ia dibersihkan (beras) atau sebelum dibersihkan (padi)?

2- Bagaimanakah Dr mendapatkan kadar 400 gantang ini sedangkan dalam hadis Nabi satu sa' adalah 60 gantang, jadi 5 awsuq mestilah 300 gantang? Adakah menggunakan gantang Malaysia? Bolehkah begitu?

3- Bagaimana pula Dr mendapatkan nilai tukaran gantang ini kepada 653 kg?

4- Saya dapati terdapat banyak perbezaan dalam penentuan nisab padi/beras ini antara negeri2 di msia. Kenapa ia berlaku begitu kalau betul Dr katakan bahawa nisab sebenarn ialah 400gantang=653kg?

5- Dalam http://infad.usim.edu.my/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=2232&mode=thread&order=0&thold=0&newlang=ara
ada disebutkan fatwa yang dikeluarkan oleh Lajnah Fatwa mengatakan bahawa nisab beras adalah 363 gantang. Jadi bagaimana ia bercanggah dengan kenyataan Dr.

Harap Dr sudi memberi penerangan kepada saya yang sangat keliru sekarang ini. Terima kasih.

DR. ZAHRI HAMAT said...

Assalamualaikum wr. wb,

Saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas keperihatinan saudara itu. Mudah-mudahan ia membantu saya untuk meneruskan kajian tentang zakat harta kekayaan.

Memang terdapat pelbagai bilangan apabila membuat pertukaran daripada 5 awsuq. Ada yang mengatakan ia bersamaan 300 gantang Madinah, 400 gantang Mesir, 375 gantang Malaysia. Dalam berat matrik pula ialah 653 kg. Di Malaysia, ada juga kadar pertukaran yang dipakai ialah 400 gantang (Mahmood Zuhdi Abdul Majid, 2003: 257 - 258; Mujaini Tarimin, 1999: 91). Saya fikir persolan yang utama ialah, berapakah jumlah minima untuk menentukan seseorang itu kaya. Itulah jumlah nisab yang sepatutnya digunakan. Wallahu 'alam.