Monday, May 14, 2007

SISTEM TAKSIR SENDIRI


Setiap tahun kita mesti melaporkan pendapatan di dalam Borang Nyata Pendapatan. Borang tersebut mesti dikemukakan ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebelum atau pada 30 April setiap tahun. Dulu sistem taksiran yang di pakai ialah Sistem Taksir Formal STF). Ketika ini LHDN memakai dengan Sistem Taksiran Sendiri (STS).

Di bawah STF, pembayar cukai dikehendaki melaporkan pendapatan di dalam Borang Nyata Pendapatan, kembalikan Borang tersebut ke LHDN dan LHDN akan membuat taksiran. Notis akan dihantar kepada pembayar cukai dan berpandukan kepada cukai yang ditaksir, bayaran cukai akan dibuat.

Di bawah STS, pembayar cukai masih perlu mengemukakan Borang Nyata Pendapatan dalam tempoh ditetapkan. Bagaimanapun, Notis Taksiran tidak akan dikeluarkan kepada pembayar cukai. Pembayar cukai sebaliknya dikehendaki mengira cukai mereka dan menjelaskan bayaran cukai itu sepenuhnya pada masa Borang Nyata Pendapatan dikemukakan.

Pembayar cukai juga dikehendaki membuat anggaran cukai yang kena dibayar untuk tahun semasa. Bayaran ansuran bulanan dalam tahun yang berkenaan perlu dibuat berdasarkan anggaran tersebut.

Pembayar cukai boleh membuat bayaran ansuran bulanan terus kepada LHDN ataupun melalui Bank Bumiputra-Commerce/Public Bank Bhd/Public Finance Bhd.

Bagi pekerja yang tertakluk kepada bayaran cukai mengikut Skim Potongan Cukai Berjadual (PCB), kaedah ini dilaksanakan oleh pihak majikan. Majikan akan meremitkan PCB itu kepada LHDN.

Satu hal yang amat penting diambil perhatian, iaitu di bawah STS, pembayar cukai perlu menyimpan rekod dengan teratur, mengisi Borang Nyata Pendapatan dengan betul, mengira cukai dan mengemukakan Borang Nyata Pendapatan bersama bayaran cukai terakhir (sekiranya ada).



No comments: