Friday, March 02, 2007

TUJUAN MENCARI ILMU

Dalam sebuah Hadith yang dilaporkan oleh Ibn Majah, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Dari Anas bin Malik r.a. dia berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w. menuntut ilmu adalah satu kefardhuan ke atas setiap Muslim dan muslimat".

Dari Hadith Rasulullah s.a.w. ini jelas menunjukkan bahawa menuntut ilmu itu wajib. Ia meliputi semua peringkat usia. Dengan mudah kita katakan dari buaian hingga ke liang lahad. Oleh itu, semua umat Islam mesti berusaha untuk menambah ilmu masing-masing.
Ilmu yang ada pada kita ini sebenarnya amat-amat sedikit. Ini terbukti apabila Allah s.w.t. sendiri berfirman di dalam surah al-Kahfi, ayat 109 yang bermaksud: "Katakanlah wahai Muhammad, kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan"

Jelas sekali ayat tersebut mempamerkan bahawa ilmu itu amat luas. Walaupun ia mustahil untuk dipelajari semuanya, namun yang pasti ialah ia perlu dipelajari dan diterokai. Kaedah terbaik ialah dengan mempelajari dan mencari ilmu secara berterusan.

Yang terbaik ialah belajar secara formal. Pada zaman sekarang antara lain ialah belajar di universiti baik untuk mendapatkan ijazah pertama, sarjana mahupun doktor falsafah.
Bagi pelajar-pelajar sarjana dan doktor falsafah pula, viva atau ujian lisan adalah merupakan ujian terakhir ke atas ilmu yang telah mereka pelajari. Tempoh masan ujian itu tidak dapat ditentu dengan pasti. Ada hanya sekitar satu jam. Ia berjalan di dalam suasana penuh harmoni, aman dan damai. Ada kala melangkaui lebih daripada 3 jam. Suasananya pula tegang dan cemas. Mengapa berlakunya sedemikian? Bagaimana pula untuk mengelakkan ujian lisan yang bakal dihadapi itu akan mengambil masa yang singkat? Kalau lama pun, kita masih berada di dalam situasi yang tenang, aman dan damai.

Ia dapat disimpulkan seperti pertanyaan Prof Muhammad Syukri Salleh, penyelia utama penulis semasa mendaftar sebagai calun doktor falsafah dulu. Pelajar boleh memilih sama ada untuk mudah dahulu, susah kemudian atau susah dahulu, mudah kemudian. Maknanya, pelajar boleh berusaha sungguh-sungguh supaya tesis yang ditulis itu memenuhi standard yang diperlukan untuk sesebuah tesis. Penyelia merekalah yang amat maklum akan standard tersebut. Setelah standard itu dipenuhi, barulah tesis itu dikemukakan untuk diperiksa. Justeru itu, mungkin peringkat itu mengambil masa agak lama. Mungkin ia memerlukan banyak pindaan. Yang mesti dibuat ialah, segala nasihat penyelia atau "guru" itu mesti dipatuhi. Justeru kita tidak perlu risau apa yang akan berlaku. Yang akan berlaku, Inysa Allah hasilnya akan dapat dituai jua. Ia akan dituai semasa viva kelak.
Walau bagaimanapun, banyak faktor sebenarnya yang mempengaruhi hal ini, tetapi pelajar itu sendiri merupakan faktor yang terpenting.

Antaranya perkara yang perlu dijaga sungguh-sungguh ialah pertama, niat calun mestilah betul. Hindarkan niat-niat berikut. Dilaporkan daripada Ka’ab b. Malik, katanya: Aku mendengar RasululLah s.a.w. bersabda:
“Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama, atau berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu tersebut wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah daripada Ibn ‘Umar, al-Hakim dari Jabir bin ‘Abdillah)

Justeru itu, kajian yang dibuat adalah bertujuan untuk mencari ilmu. Bukan untuk bersaing dengan ilmuwan yang ada, bukan berbahas demi memperoleh kemenangan dan bukan untuk menjadi masyhur. Ia ditulis hanyalah untuk mencari keredhaan Allah s.w.t semata-mata. Tidak ada tujuan lain dari itu. Apa-apa habuan yang diperoleh di dunia merupakan habuan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t jua.

Apatah lagi satu peringatan yang amat keras daripada Rasulullah s.a.w. Dilaporkan daripada Abu Hurairah, sabda RasululLah s.a.w: “Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dengannya dicari redha Allah Azza wa Jalla, tetapi dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah). Dengan itu, niat hendaklah betul sungguh-sungguh. Kalau tidak, rugi di dunia apatah lagi di akhirat.

Bersambung...

No comments: