Friday, March 09, 2007

HUBUNGAN GURU DAN MURID

Selain, dari niat, hubungan antara guru dengan murid mesti dipelihara. Allahyarham Dato’ Dr Usman Awang menulis sebuah sajak yang bertajuk ‘Guru Oh Guru’ amat jelas dan nyata betapa besar peranan seorang guru. Cuba renungi bait-bait sajak itu:

Jika hari ini seorang perdana menteri berkuasa
Jika hari ini seorang raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca

Amat besar peranan guru. Tidak kira guru itu di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah, kolej ataupun universiti. Yang pasti gurulah yang mendidik dan membimbing muridnya. Ia tidak hanya sekadar mengajar muridnya, tetapi guru adalah seorang murabbi, iaitu pengasuh dan pendidik penuh kasih sayang, seorang mu’allim, iaitu pengajar dan penyampai yang benar, dan seorang muaddib, iaitu pendidik yang membentuk adab dan akhlak muridnya.

Imam al-Ghazali banyak sekali menulis tentang hubungan guru dengan murid. Menurut beliau, hubungan antara guru dan murid sangat mempengaruhi keberkesanan daripada sesuatu pendidikan. Malah lebih dari itu, Imam al-Ghazali menganjurkan agar seorang guru bertindak bukan sekadar guru, tetapi perlu bertindak sebagai seorang ayah kepada muridnya.
bersambung.......

No comments: