Thursday, November 23, 2006

PERAKAUNAN ZAKAT PERNIAGAAN

Kewajipan zakat perniagaan telah dinyatakan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Qur’an, Antara lain firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian dari ‘hasil usaha kamu’ yang baik-baik dan se-bahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu” (al-Baqarah, 2: 267).

Al-Tabari mentafsirkan ‘hasil usaha kamu’ sebagai perniagaan. Al-Jasas dan Mujahid juga berpendapat begitu. Yusuf al-Qaradawi (1999) kemudiannya telah menghurainya secara detail.

Rasulullah s.a.w. pula menjelaskan perakaunan zakat perniagaan. Abu Dawud melaporkan daripada Samurah b. Jundub, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Rasulullah s.a.w. memerintahkan kami supaya mengeluarkan zakat ke atas barangan yang disediakan untuk dijual” (Abu Dawud, No. 1557).

Maimun b. Mahran, seorang tabi’in telah menjelaskan lagi secara detail di dalam Kitab al-Amwal. Menurut beliau, kaedah tersebut adalah seperti berikut:

“Apabila sudah tiba waktu kamu mengeluarkan zakat, kiralah berapa jumlah wang tunai yang ada pada mu, kira berapa nilai barangan perniagaan yang kamu miliki, kemudian dinilai keseluruhan barangan tersebut dengan nilai wang tunai, dan kiralah hutang yang dapat dijelaskan (yang diberi persetujuan untuk dibayar), dan tolaklah hutang yang perlu dijelaskan, kemudian keluarkanlah zakat bakinya” (Abu ‘Ubayd, 1991: 362).

Dengan itu, Yusuf al-Qaradawi (1999) harta perniagaan yang diwajibkan zakat meliputi wang tunai, nilai barangan perniagaan, jumlah hutang sebenar yang pasti dapat dipungut ditolak dengan jumlah hutang. Zakat dikenakan ke atas baki pada kadar 2.5 peratus.

Menurut beliau lagi, ia disokong oleh beberapa orang tabi’in seperti Hasan Basri dan Ibrahim Nakha’i.

No comments: