Sunday, November 19, 2006

PERAKAUNAN ZAKAT HARTA

Masalah utama tentang zakat harta adalah disebabkan makna perkataan harta yang diwajibkan zakat (Muhammad Abdul Mun’im al-Jammal, 2000). Ini kerana di dalam al-Qur’an, Allah s.w.t. menyebut harta yang difardhukan zakat dalam bentuk umum.

Di samping harta (al-Taubah, 9: 103), Allah s.w.t. menyebut hasil usaha (al-Baqarah, 2: 267) yang difardhukan zakat juga dalam bentuk umum. Perkataan harta dan hasil usaha ini merupakan antara punca utama fuqaha’ berlainan pandangan ke atas harta-harta yang diwajibkan zakat.

Berdasarkan firman Allah s.w.t. dan Hadith Rasulullah s.a.w. tersebut, para fuqaha’ telah membuat klasifikasi harta yang diwajibkan zakat kepada 5 kategori. Ia meliputi al-’ayn iaitu, emas dan perak, al-tijarah iaitu, perniagaan, al-harth iaitu, pertanian, al-mashiyyah iaitu, ternakan, dan al-rikaz iaitu, hasil bumi (Wahbah al-Zuhaili, 1994). Setiap kategori harta tersebut, zakat dikenakan pada kadar tertentu.

Misalnya, emas dan perak pada kadar 2.5 peratus, hasil pertanian pada kadar 5.0 peratus atau 10.0 peratus tertakluk kepada jenis sumber pengairan, ternakan pada kadar yang tertentu bergantung kepada jenis ternakan, perniagaan pada kadar 2.5 peratus dan hasil daripada perut bumi pada kadar 20.0 peratus.

Dari segi hukum, kajian terdahulu mempamerkan bahawa hukum zakat telah berkembang berdasarkan ijtihad (Muhammad Saeed Siddiqi, 1988). Ia berlaku baik semasa Rasulullah s.a.w, para sahabat ataupun tabi’in. Malah ijtihad sepatutnya berlaku secara berterusan.

Malah di Malaysia pun para cendekiawan Islam perlu terbuka dalam menerima pembaharuan dan pengalihan hukum zakat yang telah ditinggalkan oleh ulama’-ulama’ silam (Mohd. Tamyes Abdul Wahid, 2002).

Harta perniagaan yang diwajibkan zakat pula telah diterangkan secara spesifik oleh Rasulullah s.a.w. Antara lain Hadith yang dilaporkan oleh Samurah b. Jundub yang bermaksud:

“Rasulullah s.a.w. memerintahkan kami supaya mengeluarkan zakat ke atas barangan yang disediakan untuk dijual” (Abu Dawud, No. 1557).

Mengikut Hadith tersebut, harta perniagaan yang diwajibkan zakat ialah barangan yang disediakan untuk perniagaan. Hadith ini telah disokong oleh beberapa Hadith lain. Antaranya sebagaimana yang dilaporkan oleh Abu Amru Ibn Hamas daripada ayahnya seperti berikut:

“Umar Ibn al-Khattab melintasi aku (Hamas) dan berkata, “Wahai Hamas, bayarlah zakat harta kamu.” Jawab ku: “Aku tidak mem-punyai apa-apa kecuali tabung anak panah dan kulit.” Kata Umar, “Nilaikan harganya dan tunaikan zakat” (Abu ‘Ubayd, 1991: 362).

Kedua-dua Hadith sama ada daripada Samurah b. Jundub ataupun daripada Abu Amru Ibn Hamas ini menyebut hanya barangan perniagaan yang diwajibkan zakat. Harta-harta perniagaan yang lain seperti wang tunai dan hutang piutang tidak disebut sama ada ia diwajibkan zakat ataupun tidak diwajibkan zakat. Dengan itu, secara literalnya bolehlah dirumuskan bahawa hanya barangan perniagaan yang diwajibkan zakat, manakala harta-harta perniagaan yang lain dikecualikan daripada zakat.

Sesuatu barangan akan menjadi barangan perniagaan jika memenuhi dua syarat. Pertama, barangan itu dimiliki secara pembelian; dan kedua, ia diniatkan untuk perniagaan (Sayyid Sabiq, 1985; Abdul Karim Zaidan, 1999; Husain Shahatah, 2003). Ia meliputi semua jenis barangan sama ada barangan yang diimport atau barangan yang dibeli dari pasaran tempatan. Antara barangan perniagaan ialah hartanah, bahan makanan, hasil pertanian dan binatang ternakan.

Sementara itu, dalam aplikasi qiyas, ‘illah merupakan faktor utama. Menurut al-Amidi, ‘illah bermaksud suatu sifat yang jelas dan konsisten, maka dengannya ditetapkan hukum atas dasar sifat tersebut (dipetik dari Muhammad Firdaus Nurul Huda, 2002).
[1] Sesuatu ‘illah pula boleh berubah disebabkan oleh faktor-faktor semasa. Antara faktor semasa yang boleh mempengaruhi kaedah perakaunan zakat perniagaan ialah timbulnya berbagai jenis perniagaan pada ketika ini.

Harta diwajibkan zakat apabila ia mempunyai ‘illah berkembang atau berpotensi untuk berkembang. Berkembang boleh didefinisikan sebagai kemampuan untuk menghasilkan pendapatan atau keuntungan (Yusuf al-Qaradawi, 1999). Selain dari ‘illah berkembang, terdapat juga cendekiawan Islam yang berpandangan bahawa ‘illah kepada harta yang diwajibkan zakat ialah kekayaan itu sendiri (Mohd. Daud Bakar, 2000; Monzer Kahf, 1991). Apabila seseorang itu dikategorikan sebagai kaya, maka hartanya akan dikenakan zakat. Dengan kata lain, kekayaan (al-ghina’) juga merupakan ‘illah kepada sesuatu harta yang diwajibkan zakat.
Nota Akhir
[1] Untuk huraian lanjut, sila lihat, Ahmad Hasan (1986).

No comments: