Wednesday, November 15, 2006

HARTA YANG DIWAJIBKAN ZAKAT

Harta-harta yang diwajibkan zakat telah disebut oleh Allah s.w.t. dalam dua bentuk. Pertama, dalam bentuk umum; dan kedua, dalam bentuk spesifik (Ahmad Hidayat, 1998; Mahmood Zuhdi, 2003). Di dalam bentuk umum, al-Qur'an hanya menyebut perkataan sebahagian harta (al-Taubah, 9: 103) [1] atau harta-harta (al-Dhariyat, 51: 19).[2] Dalam bentuk spesifik pula, al-Qur'an menyebut harta-harta seperti emas dan perak (al-Taubah, 9: 34),[3] pendapatan pertanian (An’am, 6: 141),[4] pendapatan perniagaan dan hasil galian (al-Baqarah, 2: 267).[5]
Meskipun al-Qur’an menyebut jenis-jenis harta tertentu dikenakan zakat (al-Taubah, 9: 34; An’am, 6: 141; dan al-Baqarah, 2: 267) tetapi tidak ada apa-apa kenyataan ataupun isyarat yang ia secara bersama menghadkan pengertian umum yang terdapat dalam ayat-ayat 19 surah al-Dhariyat dan 103 surah al-Taubah. Malah ketiga-tiga ayat tersebut hanya menerangkan beberapa jenis harta yang diwajibkan zakat tetapi ia tidak bermakna harta-harta lain tidak diwajibkan zakat (Mahmood Zuhdi, 2003).

Kedua-dua bentuk tersebut juga terdapat di dalam al-Sunnah Rasulullah s.a.w. Dalam bentuk umum, Rasulullah s.a.w. hanya menyebut perkataan harta-harta, manakala dalam bentuk spesifik, Rasulullah s.a.w. menyebut jenis-jenis harta, iaitu emas dan perak, barangan perniagaan, hasil pertanian seperti gandum, barli dan anggur, ternakan seperti kambing, lembu dan unta, dan hasil galian.
Bagi kewajipan zakat perniagaan pula, ia telah disebut di dalam surah al-Baqarah ayat 267 seperti berikut:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian dari hasil usaha kamu (ma kasabtum) yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu” (al-Baqarah, 2: 267).

Menurut al-Tabari dan Ibn al-‘Arabi, perkataan ma kasabtum bermaksud perniagaan. Pandangan yang sama juga diberikan oleh al-Jassas (Mahmood Zuhdi, 2003).
[6] Malah Abdullah Ibrahim (1997) merumuskan bahawa hasil usaha itu meliputi semua jenis pendapatan seperti pendapatan daripada perniagaan, pendapatan daripada pekerjaan, pendapatan daripada pertukangan, pendapatan daripada perlombongan, pendapatan daripada pertanian, pendapatan daripada penternakan dan sebagainya.

Nota Akhir:
[1] Berdasarkan firman Allah s.w.t: Maksudnya: “Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka dengannya kamu membersihkan dan menyucikan mereka.”
[2] Berdasarkan firman Allah s.w.t: Maksudnya: “Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian”.
[3] Berdasarkan firman Allah s.w.t: Maksudnya: “Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah maka beritahulah kepada mereka (bahawa mereka akan mendapat) seksa yang pedih.”
[4] Berdasarkan firman Allah s.w.t: Maksudnya: “Makanlah dari buahnya (yang bermacam-macam itu) bila dia berbuah dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya.”
[5] Berdasarkan firman Allah s.w.t: Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha mu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.”
[6] Perkataan al-kasb pula mengikut pengertian bahasa bermakna mencari dan mengumpul harta untuk membiayaan sara hidup diri, keluarga, membayar hutang, membuat simpanan dan pelaburan. Ia boleh dibuat melalui antara lain al-tijarah (perniagaan), ujrah al-ta’lim (upah mengajar) dan ghillah (membangunkan tanah sebagai industri atau pertanian) (Mujaini, 1999).

No comments: