Tuesday, July 12, 2016

Zakat Penggajian

Berikut adalah keputusan fatwa tentang zakat penggajian. Bagi sesiapa yang berminat membuat kajian tentang zakat zakat penggajian, paling tidak terdapat tiga persoalan yang perlu dicari jawapan.

Pertama, apakah yang dimaksudkan dengan penggajian dalam fatwa tersebut?

Kedua, mengapakah tidak disebut elaun-elaun yang ada kena mengena dengan pengajian khususnya benefit in kind? dan

Ketiga, mengapakah kadar zakat penggajian ditetapkan pada 2.5 peratus, sedangkan penggajian adalah zakat terhadap hasil bukannya terhadap barangan seperti emas dan perak?


Bil
Tajuk
Tarikh
Bil. JKF
Fatwa
1
Zakat Gaji dan Pendapatan Profesional
9 Disember 1992
Muzakarah Kali Ke-31 dan Muzakarah (khas)
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-31 dan Muzakarah Khas yang bersidang pada 9 Disember 1992 telah membincangkan Zakat Gaji & Pendapatan Profesional. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  • Umat Islam boleh mengeluarkan zakat daripada pendapatan gaji dan Jabatan Hasil Dalam Negeri hendaklah memberi rebet zakat ke atas jumlah yang dibayar itu. 
  • Pendapatan profesional diwajibkan zakat kerana ia termasuk dalam zakat perniagaan.
2
Zakat Gaji dan Profesional 2
22 Jun 1997
Muzakarah Khas
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 22 Jun 1997 telah membincangkan Zakat Gaji & Pendapatan Profesional. Muzakarah telah memutuskan bahawa zakat ke atas pendapatan penggajian adalah wajib bagi orang yang layak mengeluarkan zakat.

3
Zakat Gaji Beserta Kadarnya
7 Mei 2003
Muzakarah Kali Ke-56
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-56 yang bersidang pada 7 Mei 2003 telah membincangkan Zakat Gaji Beserta Kadarnya. Muzakarah telah memutuskan bahawa asas pengiraan zakat gaji dan pendapatan adalah berdasarkan kepada pendapatan kasar setahun dan kadar zakat yang dikenakan ialah sebanyak 2.5% daripada jumlah pendapatan tersebut.

Friday, June 24, 2016

FRGS - Ikhlas Senjata Utama

Al-Hamdulillah, temubual bermula jam 12.50 malam dan selesai jam 1.50 pagi. Namun beliau masih segar dan bersemangat. Tiada tanda mempamerkan beliau resah dan jemu terhadap soalan yang dibangkitkan.

Responden terakhir ini terbabit dalam perniagaan nasi kukus ayam berempah. Resepi asli dari Kelantan. Bayangkan setelah berpenat lelah selama lapan bulan, pada suatu pagi yang hening dan hari pertama isterinya turut serta dalam perniagaan, bila tiba di lokasi perniagaan, pihak penguatkuasa kerajaan tempatan sudah ready dengan jentolak untuk merobohkan gerai beliau. Itulah pagi pertama isterinya tiba dari Kelantan. Selama lapan bulan dulu, beliau usahakan sendirian.

Beliau pohon untuk meroboh sendiri agar khemah yang dipasang itu masih digunakan lagi.

Beliau pindah di tempat baru. Hari pertama setengah ekor ayam pun tak habis. Begitulah ujian yang dihadapi. Namun itu bukan lasan untuk beliau berhenti dari perniagaan. Anggaplah itu hanya ujian kecil daripada Allah jua.

Berkat kesabaran beliau, sekarang jualan harian mencecah RM2,000 sehari. Telah mampu membina rumah sendiri. Mampu mempunyai kenderaan pacuan empat roda. Motorsikal berkuasa tinggi dan basikal mencecah belasan ribu harga.

Mengakhiri temubual bual beliau menyebut, yang utama adalah keikhlasan. Kedua, kesucian - oleh itu ayam yang dijual diembelih sendiri. Dan terakhir, beliau berpesan, hutang wajib dilunaskan. Jika tidak mampu dibayar, minta dihalalkan.

Wednesday, June 22, 2016

FRGS - Ikhlas, Sabar dan Komited

Al-Hamdulillah, dua lagi  temubual untuk kajian kemiskinan dapat diselesaikan. Temubual responden pertama bermula jam 10.25 malam. Untuk responden kedua pula bermula jam 12.50 malam. Temubual selesai jam 1.50 pagi.

Kedua-dua responden sangat komited dalam usaha masing-masing. Terbuka, jujur, sabar, dan komited. Buktinya ialah, mereka sanggup berkongsi pengalaman walaupun sehingga jam 1.50 pagi. 

Responden pertama adalah seorang pengusaha pengangkutan. Beliau memiliki beberapa buah lori besar - 10 tan. Bercadang untuk menambah lagi kepada trelar.

Berasal dari Selama, Perak. Dibesarkan dalam kalangan keluarga miskin. Malah boleh dikategorikan amat daif. Bersekolah beberapa tahun di peringkat Sekolah Rendah. Beliau terpaksa berhenti kerana kemiskinan. 

Kerjaya bermula sebagai kelindan lori. Tahun demi tahun - naik taraf kepada driver lori. Akhirnya kepada pengusaha lori.

Beliau telah berjaya dalam kerjayanya. Ini terbukti keuntungan bulanan melebihi RM30,000 sebulan. Amat merendah diri. Menurut beliau, jika dapat RM5,000 sebulan pun telah mewah. Orangnya tenang, jika tidak keluar kota, maka suraulah tempat beliau melepak.

Kehidupan masih seperti dulu. Amat sederhana walaupun saya kira beliau telah amat berjaya.

Dulu rumah ibarat reban ayam. Pernah satu malam anak kecilnya hilang semasa tidur. Dalam kegelapan malam beliau mencari anak kecil itu. Akhir ditemuai ia sedang lena di pangkal pokok pisang. Terjatuh kerana lantai rumah tempat beliau berteduh sudah reput dan patah, maka sekecil turut ke bawah bersama lantainya sekali.

Susah dan teramat susah. Eletrik tiada. Air daripada perigi. Namun berbekalkan keikhlasan, kesungguhan, dan tawakal kepada Allah, akhirnya berjaya mencapai cita-citanya.

Harapan beliau, semoga anak-anak dapat meneruskan usaha yang telah dimulakan dengan susah payah. Semoga ia tidak disia-siakan. Ameen.     

Tuesday, June 21, 2016

KERJA LAPANGAN FRGS

Al-Hamdulillah, temubual untuk responden kajian kemiskinan dapat diselesaikan. Temubual responden pertama bermula jam 10.40 malam. Untuk responden kedua pula bermula jam 11.40 malam.

Temubual terpaksa dibuat waktu malam kerana kedua-dua responden ada urusan hal perniagaan masing-masing pada waktu siang hari.

Yang menariknya ialah, mereka sanggup berkongsi pengalaman walaupun di bulan puasa. Mereka dapat meluangkan masa walaupun berakhir jam 1.00 pagi. Inilah yang mendorong penyelidik untuk terus berbual dengan mereka bagi mendapatkan data penting.

Bagi responden pertama, dapat dirumuskan usaha untuk keluar dari perangkap kemiskinan ialah dengan bertukar kerjaya. Beliau bertukar kerjaya dari makan gaji kepada kerja sendiri. Beliau berpendapat, jika kerja sendiri, berjaya atau gagal itu terletak kepada usaha masing-masing. Jika kita berusaha bersungguh-sungguh, Insha Allah kita boleh berjaya. 

Soal beliau, mengapakah perkerja dari Indonesia boleh berjaya, malah ada yang menjadi kontraktor? Pendapatan mereka boleh mencecah RM5,000 sehari, Kita patut belajar dari mereka. Justeru, untuk berjaya, kita sepatutnya berusaha sama seperti mereka.

Responden kedua berpegang, bukan senang untuk menjadi senang, dan bukan susah untuk untuk menjadi susah. Justeru, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.

Beliau berpegang, perlunya hijrah serta perlu berniaga untuk jadi kaya. Bagi peniaga, untuk mendapat keuntungan RM200.00 sehari bukanlah suatu yang susah. Jual air tepi jalanpun boleh dapat. RM200.00 bermakna RM6,000.00.

Kedua, kita perlu rebut peluang yang ada. Jika kita lambat, peluang itu diambil oleh orang lain. Dengan kata lain, kita perlu tamak merebut peluang.

Beliau menutup kata, beliau masih belum berjaya. Yang pastinya, beliau telah mampu memiliki 13 unit rumah sewa. Itu pencen yang beliau terima setiap bulan. Jika sewa diperoleh sebanyak RM400 sebuah rumah, maka pendapatan bulanan sewa beliau ialah RM5,200.00. Itu adalah anggaran paling minimum. 

Saya berdoa, semoga mereka terus berjaya, dan berdoa saya dipanjangkan umur supaya dapat bertemu lagi dengan kedua-dua mereka, Insha Allah.